Monday, 7 November 2011

TAZKIRAH...

Saya tidak pernah menyangka jika ada seorang lelaki berkata, “Prof, terima kasih kerana menyampaikan ilmu yang sangat berguna buat saya. Saya sudah berkali-kali meminta isteri melakukan perubahan tetapi beliau masih begitu.

Saya sayangkan beliau dan anak-anak namun ada sesuatu yang tidak berkenan di hati. Tinggal satu perkara lagi yang belum saya lakukan sebagaimana yang prof. sarankan, iaitu bangun pada 1/3 hujung malam yang tersisa dan berdoa kepadaNya”.

Ia kenyataan yang jarang berlaku. Kebiasaannya, kaum wanitalah yang selalunya bersungut tentang tingkah-laku suami. “Suami saya sangat baik, tinggal lagi beliau tidak solat,” kenyataan yang berharap agar suami yang dikasihi menjadi suami yang soleh.

Dalam kenyataan yang berbeza, mereka mungkin berkata, “suami saya OK tetapi setiap hujung minggu beliau sentiasa berada di padang golf. Saya sudah tidak boleh berbuat apa-apa,” rungut isteri yang mahu suami sentiasa berada di sisi pada setiap hujung minggu.

Saya juga pernah terdengar sungutan isteri pada suami yang gila memancing sehingga menggangu emosi dalaman beliau.

Saya fikir, jika suami segala-galanya kelihatan sempurna – tidak gila golf, memancing pun tidak tahu, solatnya di masjid – pasti ada sesuatu yang bakal dirungutkan oleh isteri, “suami saya perlu diuruskan sehinggakan seluar dalamnya perlu diletakkan biar dapat matanya melihat. Jika tidak, pergilah ke pejabat tanpa seluar dalam”.

Alahai… mana ada manusia yang sempurna?

Kebiasaanya begitu tetapi saya yakin dan percaya yang sungutan-sungutan tersebut pasti berlalu begitu sahaja apabila sifat-sifat positif suami yang lain menimbusi segalanya. Lazimnya, faktor umur (nota: taufik dan hidayah Allah) boleh menyebabkan manusia berubah.

Akhirnya, suami kelihatan jauh berbeza berbanding masa lampau dan sisa-sisa kehidupan diakhiri bersama dengan penuh kebahagian. Ia satu doa dan harapan pasangan suami-isteri. Mudah-mudahan yang menjadi kenyataan.

Ya Allah ya Tuhan kami, jadikanlah hubungan kami suami-isteri sebagai hubungan yang diredhaiMu. Elakkan pergaduhan, jauhilah rasa cemburu yang melampau, jalinkan rasa cinta yang kekal abadi sehingga kami bertemu di syurgaMu ya Allah. Masukkanlah kami ke syurga Firdaus, masukkanlah kami tanpa dihisab dan masukkan kami dengan rahmatMu.

Begitu juga dengan suami yang melihat seribu macam kekurangan isteri di sisi agama tetapi tiada upaya dan kudrat untuk mengubahnya. Allahu Akbar, sesungguhnya saya sangat simpati mendengar rungutan (nota: keluhan barangkali lebih sesuai) para suami yang tertekan emosi apabila berhadapan dengan isteri yang berpangkat dan bergaji lebih tinggi daripada mereka.

Secara semulajadi, pangkat dan gaji isteri mengurangkan rasa hormat dan sifat lemah lembut wanita yang menjadi idaman kamu lelaki. Keputusan isteri di rumah perlu dipatuhi seumpama mendengar kata-kata bos di pejabat.

Malah kadangkala – barangkali di luar sedar – tersebut kata-kata yang sangat melukakan hati di depan atau pun di belakang tetamu.

Baginda SAW pernah menyatakan sifat-sifat wanita yang sangat keji dan menjadi ahli neraka. Alahai… jika inilah wanita yang diperolehi maka ia merupakan ujian terbesar kepada kaum lelaki.

Empat perempuan yang berada di Neraka ialah: perempuan yang kotor mulutnya terhadap suaminya. Jika suaminya tidak ada di rumah ia tidak menjaga dirinya dan jika suaminya bersamanya ia memakinva (memarahinya).

Perempuan yang memaksa suaminya untuk memberi apa yang suami tidak mampu.

Perempuan yang tidak menjaga auratnya dari kaum laki-laki dan memperlihatkan kecantikannya (untuk menarik kaum laki laki).

Perempuan yang tidak mempunyai tujuan hidup kecuali makan minum dan tidur, dan ia tidak mau berbakti kepada Allah dan tidak mau berbakti kepada Rasul-Nya dan tidak mau berbakti kepada suaminya.


(Nota: petikan buku Travelog Kehidupan: Menghadapi Ujian, sebahagian daripada bab 22: Ujian Suami)

No comments: